Untuk memuat turun teks penuh Warta Kerajaan versi elektronik, sila klik di
Info e-Warta
PNMB merupakan pencetak rasmi Warta Kerajaan bagi pihak Kerajaan Malaysia. Selaras dengan arahan Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri dan Penguatkuasaan Akta Tafsiran (Pindaan) 2008 [Akta A1330], projek e-Warta akan dilaksanakan secara berperingkat. Fasa pertama e-Warta akan melibatkan Warta Kerajaan Persekutuan sahaja manakala fasa kedua pula akan melibatkan Warta Kerajaan Negeri bagi Pemberitahuan Warta atau “Gazette Notification” (GN). Ia akan menjadi penanda aras utama sistem perundangan di Malaysia ke arah Mahkamah Elektronik.
Projek e-Warta merupakan salah satu projek nasional di bawah seliaan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri untuk dilaksanakan oleh PNMB. Projek ini adalah selaras dengan penguatkuasaan Akta Tafsiran (Pindaan) 2008 [Akta A1330] pada 15 Mac 2010 yang meminda seksyen 3 dan 18 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388]. Seksyen 3 Akta A1330 meluaskan skop penerbitan Warta kepada bentuk atas talian (softcopy) dan bentuk bercetak (hardcopy). Sementara seksyen 18 pula memendekkan proses pewartaan Warta Kerajaan dari dua minggu kepada harian dan/atau bila-bila masa dikehendaki oleh Kerajaan Malaysia. Seksyen 18 juga menyatakan untuk mendapatkan tarikh siaran warta, rujukan perlu dibuat melalui siaran secara atas talian atau online disebabkan warta akan disiarkan secara online terlebih dahulu pada setiap hari dan cetakan hanya akan diperolehi pada hari Isnin minggu berikutnya dengan mengumpulkan Warta Kerajaan yang disiarkan selama seminggu pada minggu tersebut.
e-Warta merupakan kaedah paling sesuai bagi mengatasi masalah kelewatan pewartaan yang mengakibatkan kes-kes tertangguh di Mahkamah. Dengan adanya sistem e-Warta proses pewartaan dapat dipendekkan daripada dua (2) minggu kepada harian dan/atau bila-bila sahaja dikehendaki oleh Kerajaan.
Kementerian, Agensi Kerajaan, Badan-badan Berkanun dan pihak-pihak berkenaan hendaklah melanggan sistem yang dibangunkan oleh PNMB iaitu “e-Warta Delivery System” dan laman web
www.e-Warta.com.my bagi tujuan pewartaan secara online mahupun akses kepada sistem e-Warta atau “Online Gazette” ini.
